4 Tahun Terputus Hubungan, Anak Temui Rangka Bapa Dalam Pangsapuri

BERITA TERKINI KEMALANGAN Viral

Warga Emas Ditemui Tinggal Rangka Setelah Empat Tahun Hilang – Tiada Unsur Jenayah

Kuala Lumpur, 11 September 2024 – Satu insiden mengejutkan berlaku di Kepong, Kuala Lumpur, apabila seorang warga emas berusia 74 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan hanya tinggal rangka selepas empat tahun tidak kelihatan oleh penduduk setempat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, mengesahkan bahawa rangka lelaki berusia 72 tahun itu ditemui oleh anak lelakinya setelah terputus hubungan selama empat tahun. Menurut beliau, anak lelaki tersebut mendapati kediaman bapanya terkunci dan gagal dihubungi sebelum memutuskan untuk memecahkan pintu rumah berkenaan.

“Anaknya terpaksa memecahkan pintu rumah yang berkunci. Apabila masuk ke dalam, dia menemui bapanya dalam keadaan hanya tinggal rangka,” jelas Ahmad Sukarno.

Difahamkan, lelaki malang ini telah tinggal berseorangan selepas bercerai, dan kali terakhir dia berhubung dengan anaknya adalah pada tahun 2020. Menurut maklumat awal, tempoh sebenar kematian mangsa tidak dapat dipastikan.

Berita penemuan tersebut menjadi tular di media sosial, di mana netizen terkejut dengan keadaan rumah yang tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kehadiran mayat selama ini. Mesej yang tular menyebut bahawa mangsa pernah memaklumkan kepada rakan dan penduduk bahawa dia akan pulang ke kampung sebelum kehilangan tersebut.

“Semalam (Khamis), anak arwah datang mencari dan pihak JMB terpaksa mengumpil kunci untuk memeriksa keadaan rumah. Ramai yang terkejut kerana tiada bau busuk yang menonjol di kawasan berkenaan,” ujar satu sumber.

Menurut jiran-jiran, lelaki tersebut dikenal sebagai seorang yang pendiam dan sering ke surau untuk solat berjemaah serta mengajar kanak-kanak membaca al-Quran. Salah seorang jiran, Nurina, berkata, “Saya sering lalu depan rumahnya untuk menghantar anak ke rumah pengasuh. Walaupun tidak melihatnya selama beberapa tahun, tiada bau pelik yang terhidu.”

Pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri juga mengesahkan bahawa mereka memecahkan pintu rumah berkenaan bersama anak arwah dan mendapati rumah dalam keadaan teratur dengan lampu masih terbuka dan kipas berpusing. Tiada unsur jenayah dikesan kerana barang-barang peribadi mangsa seperti wang masih berada di tempatnya.

Menurut maklumat, arwah tidak pernah lewat dalam membuat bayaran yuran penyelenggaraan, dengan pembayaran terakhir dilakukan pada September 2021.

Kes ini kini diklasifikasikan sebagai kematian semula jadi, dan rangka mangsa telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.