Pemaju Projek Perumahan Baru Wajib Bina Rumah Untuk Golongan B40 Dan M40 Juga

BERITA TERKINI

Kuala Lumpur: DBKL Diminta Sediakan Blok Rumah MADANI Dalam Setiap Projek Pembangunan

Kuala Lumpur – Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diarahkan untuk menyertakan blok rumah MADANI dalam setiap projek pembangunan perumahan baharu di ibu negara, terutama untuk golongan B40 dan M40. Arahan ini dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai langkah untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap kediaman di sekitar Kuala Lumpur.

Dalam ucapan beliau semasa pelancaran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI (PPAM MADANI) di Piksel City Central hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa arahan ini bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan rumah mampu milik di ibu kota. Beliau menjelaskan bahawa setiap permohonan pembangunan perumahan baharu akan dipertimbangkan dengan syarat adanya satu atau dua blok rumah MADANI bagi manfaat rakyat.

“Permintaan untuk membeli kediaman di Kuala Lumpur sangat tinggi, mencecah puluhan ribu permohonan. Oleh itu, saya mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL untuk memberikan kelulusan dan kelonggaran dalam proses pembangunan, dengan syarat projek tersebut mesti termasuk blok rumah MADANI,” ujar beliau.

Semasa majlis tersebut, Perdana Menteri juga menyempurnakan penyerahan surat tawaran dan kunci rumah kepada sepuluh pembeli PPAM. Seramai 843 penjawat awam dari pelbagai skim dan gred perkhidmatan telah ditawarkan untuk memiliki unit perumahan di Piksel City Sentral, Nikka City Sentral, dan Amansuri.

Program PPAM MADANI ini merupakan inisiatif khas untuk penjawat awam, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, bagi membolehkan mereka memiliki rumah berkualiti di lokasi strategik dengan harga yang lebih rendah dari pasaran. Pembangunan projek PPAM MADANI melibatkan kerjasama antara kerajaan dan pemaju perumahan swasta di atas tanah persendirian atau tanah milik Kerajaan Persekutuan.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan menyasarkan untuk menyediakan 500,000 unit rumah mampu milik, termasuk 28,000 unit khusus untuk penjawat awam.