Wanita Warga India Dipercayai Hanyut Selepas Terjatuh ke Dalam Lubang Benam Berhampiran Masjid India

Operasi Mencari dan Menyelamat Mangsa Tanah Jerlus Dihentikan: Apa Yang Anda Perlu Tahu

BERITA TERKINI KEMALANGAN

Operasi Mencari dan Menyelamat Mangsa Tanah Jerlus Dihentikan: Apa Yang Anda Perlu Tahu

Kuala Lumpur– Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan untuk mencari seorang wanita warga India yang terlibat dalam tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India terpaksa dihentikan serta-merta hari ini.

Operasi SAR yang telah memasuki hari kesembilan melibatkan pelbagai teknik pencarian canggih termasuk teknik ‘flushing’, ‘jetter’, serta penggunaan alat pengesan bawah tanah seperti Radar Pengesan Bawah Tanah (GPR), kamera dan alat robotik. Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, mengumumkan keputusan menghentikan operasi tersebut berdasarkan laporan terkini yang diterima oleh Jemaah Menteri.

Menurut Dr. Zaliha, keputusan ini diambil selepas penilaian risiko keselamatan yang dilakukan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mengetuai SAR. “Laporan yang diterima menunjukkan bahawa faktor keselamatan anggota penyelamat menjadi keutamaan. Risiko arus deras dan kemungkinan mendapan kedua di kawasan tersebut membahayakan keselamatan,” jelas beliau pada sidang media yang diadakan di lokasi kejadian.

Tambah Dr. Zaliha, aktiviti SAR akan digantikan dengan ‘search and recovery’ bagi memastikan keselamatan umum terjamin. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertanggungjawab terhadap pemetaan utiliti serta kajian struktur tanah di seluruh Kuala Lumpur. “Kami juga akan melibatkan peniaga dan meneruskan aktiviti di kawasan tersebut dengan mengambil langkah pembaikan segera,” katanya.

Sebagai langkah keselamatan, kawasan dari Pintu Gerbang hingga ke Pasaraya Mydin yang meliputi jarak 100 meter akan ditutup kepada pengunjung sementara kerja pemulihan dan pembinaan semula dijalankan. Selain itu, semua bangunan di kawasan tersebut diwajibkan untuk melaporkan keadaan geoteknikal mereka.

Dr. Zaliha menegaskan bahawa Kuala Lumpur dalam keadaan selamat dan orang ramai diminta untuk mendapatkan berita sahih dari pihak berkuasa. “Kami akan terus berbincang dengan pakar geologi secara berkala untuk memastikan keselamatan semua pihak,” tambah beliau.