Polis Tahan Warga Asing Didakwa Lakukan Perbuatan Lucah Terhadap Datuk Seri Aliff Syukri

Anggota Tentera Maut Ditembak Pemburu Haram

Borneo JENAYAH KEMALANGAN Video

Anggota Tentera Maut Ditembak Ketika Latihan di Song

SONG: Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut selepas terkena tembakan yang dipercayai dilepaskan secara tidak sengaja oleh orang awam yang sedang berburu, awal pagi tadi.

Mangsa, Petrus Linggi, 29 tahun, sedang mengikuti latihan Eksais Pasak Bumi di Batu 5, Jalan Balak Multiplus, ketika insiden tragis itu berlaku. Menurut Ketua Polis Daerah Song, DSP Rowney Michael Jalak, kejadian berlaku sekitar jam 2.45 pagi ketika mangsa sedang berbaring di atas ‘hammock’.

“Mangsa terkena tembakan di bahagian paha dan punggung kiri,” katanya dalam kenyataan rasmi. Mangsa segera dibawa ke Hospital Kapit untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia pada jam 7.43 pagi.

Pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 5.57 pagi. “Siasatan masih dijalankan dan usaha untuk mengesan suspek sedang giat dilakukan,” jelas Rowney.

Dalam kenyataan berasingan, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat turut memaklumkan bahawa kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan sepasukan sedang berehat selepas menjalani latihan di kawasan berhampiran jalan balak yang tidak berturap.

Pada kira-kira jam 2.45 pagi, bunyi motosikal didengar melalui jalan tersebut, diikuti bunyi tembakan yang dipercayai datang dari arah motosikal tersebut. Pemeriksaan segera dijalankan dan mendapati seorang anggota telah cedera akibat tembakan itu.

Mangsa diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song dan seterusnya ke Hospital Kapit, namun mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini giat menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut. Tentera Darat Malaysia (TDM) turut mengingatkan masyarakat agar tidak menyebarkan gambar atau maklumat mengenai kejadian tersebut bagi menghormati proses siasatan dan menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Waris mangsa yang berada di Sarikei telah dimaklumkan, dan urusan pengebumian akan diatur setelah proses bedah siasat selesai. Tentera Darat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka tabah menghadapi kehilangan ini.

Latihan Eksais Pasak Bumi yang sedang berlangsung di kawasan Kanowit – Nanga Dap – Song ini melibatkan satu kompeni anggota dan dijadualkan berlangsung sehingga 29 September 2024.