Benarkah Roti ‘AIR BERKAT” GISBH Ini Mendapat Logo Halal JAKIM?

BERITA TERKINI ISLAMIK ISU SEMASA Video

Roti Jenama Ikhwan Tidak Mempunyai Sijil Halal JAKIM, Disahkan Melanggar Akta Perihal Dagangan

KUALA LUMPUR: Produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara kini dalam perhatian setelah disahkan tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pengesahan ini dibuat selepas semakan melalui Portal Halal Malaysia mendapati bahawa produk tersebut tidak mempunyai SPHM yang sah.

Menurut kenyataan JAKIM, isu ini telah menarik perhatian ramai selepas produk tersebut mula tular di media sosial. “Kita mengambil perhatian serius terhadap pertanyaan yang diterima mengenai produk berkenaan yang tular ketika ini,” kata kenyataan itu.

Melanggar Akta Perihal Dagangan 2011

JAKIM turut menjelaskan bahawa penggunaan logo halal yang tidak sah melanggar Akta Perihal Dagangan 2011, khususnya di bawah perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Akta ini menekankan bahawa sebarang makanan atau barang yang didakwa halal mestilah diperakukan oleh pihak berkuasa berwibawa dan disertakan dengan logo halal yang sah.

JAKIM kini telah berhubung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk mengambil tindakan penguatkuasaan segera. “Sekiranya didapati berlaku penyalahgunaan logo atau sijil halal pada produk, pihak syarikat boleh dikenakan tindakan di bawah akta terbabit,” tambah kenyataan itu lagi.

Penyalahgunaan Logo Halal Boleh Dikenakan Tindakan

Di bawah akta tersebut, adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana syarikat atau individu untuk memperihalkan makanan atau barangan sebagai halal tanpa pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berwibawa seperti JAKIM. Penandaan halal yang tidak sah boleh membawa kepada tindakan undang-undang yang tegas.

Isu ini timbul setelah Pusat Kajian Ajaran Sesat Malaysia (PUKAS) melalui media sosial mempersoalkan kesahihan penggunaan logo halal JAKIM pada produk roti jenama Ikhwan. PUKAS telah menyeru pengguna untuk lebih berhati-hati dalam memilih produk makanan, khususnya yang melibatkan status halal.

Dengan pengesahan daripada JAKIM ini, diharapkan pengguna Islam lebih waspada dalam memastikan produk yang dibeli mematuhi syarat-syarat halal yang ditetapkan.

@bharianmyRoti jenama Ikhwan tiada sijil halal – JAKIM #beritaditiktok

♬ original sound – Berita Harian