CelcomDigi Diiktiraf Sebagai Liputan Rangkaian Mudah Alih Terbaik Di Malaysia

CelcomDigi Diiktiraf Sebagai Liputan Rangkaian Mudah Alih Terbaik Di Malaysia

ISU SEMASA

CelcomDigi Diiktiraf Sebagai Rangkaian Terbaik di Malaysia Menurut Anugerah Ookla® Speedtest™

PETALING JAYA, 2 September 2024 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) hari ini menerima pengiktirafan sebagai Rangkaian Mudah Alih Terbaik di Malaysia daripada Anugerah Ookla® Speedtest™. Anugerah ini mencerminkan komitmen CelcomDigi untuk terus memperbaiki liputan rangkaiannya, kualiti, dan prestasi bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan di seluruh negara.

Menurut laporan Ookla® Speedtest™ untuk Malaysia bagi suku pertama dan kedua tahun 2024 (Q1-Q2 2024), CelcomDigi memperoleh penarafan tertinggi dalam kategori Liputan Mudah Alih Terbaik dengan Skor Liputan™ sebanyak 30.73. Dengan liputan rangkaian 4G yang merangkumi 97% kawasan yang didiami, CelcomDigi mencatatkan kiraan imbasan hampir 249 juta pada lebih 303,000 peranti, dan kawasan liputan yang disahkan seluas 106,366 km² di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, “Pencapaian ini adalah bukti nyata komitmen kami terhadap kecemerlangan pelanggan, dengan fokus mendalam terhadap penambahbaikan berterusan untuk menyediakan pengalaman rangkaian terbaik. Kami bekerja keras untuk membangunkan rangkaian digital terkemuka di Malaysia dengan infrastruktur teknologi terkini yang direka untuk menyampaikan perkhidmatan 4G dan 5G yang lancar dan berkualiti tinggi kepada semua rakyat Malaysia. Kami terus melabur untuk memodenkan rangkaian kami dengan teknologi terbaru bagi memastikan kami berada di hadapan dalam memenuhi tuntutan masyarakat yang lebih tersambung – memastikan jutaan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada kuasa sambungan dan mempercepatkan transformasi negara ke arah masyarakat digital berkuasa 5G-AI.”

CelcomDigi mempunyai rangkaian 4G yang paling luas di Malaysia, meliputi 97% kawasan yang didiami, melebihi kiraan tapak pengendali mudah alih lain sebanyak sekurang-kurangnya 50%. Proses integrasi dan pemodenan rangkaian di seluruh negara termasuk peningkatan dengan teknologi terkini seperti 64T64R massive MIMO, Automasi Proses Robotik, perkongsian Rangkaian Teras Multi Pengendali (MOCN), keupayaan rangkaian yang mengatur sendiri berasaskan AI, dan banyak lagi, untuk memperbaiki pengalaman digital pelanggan. CelcomDigi juga telah memodenkan semua komponen rangkaiannya, iaitu RAN, teras, dan pengangkutan, dengan peralatan yang bersedia untuk 5G, dengan lebih 90% tapak rangkaian kini sudah bersedia untuk 5G.

Menjelang akhir tahun 2024, 75% daripada rangkaian syarikat ini akan dimodenkan, menjadikannya rangkaian digital yang terbesar dan paling moden di negara ini. Rangkaian siap 5G dengan 18,000 tapak ini bersedia untuk pelaksanaan pantas teknologi 5G dan 5G-Advanced di seluruh kawasan luasnya dan bersedia untuk dioperasikan sebagai salah satu rangkaian 5G yang paling canggih di rantau ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai laporan Anugerah Ookla® Speedtest™ bagi tempoh Q1-Q2 2024, kunjungi [speedtest.net/awards/malaysia](https://speedtest.net/awards/malaysia).