Fasa Peralihan Monsun Bermula 24 September, Cuaca Tidak Menentu Diramal Hingga November

Cuaca

Fasa Peralihan Monsun Bermula 24 September, Cuaca Tidak Menentu Diramal Hingga November

Kuala Lumpur, 22 September 2024 — Fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 24 September dan akan berterusan sehingga awal November, menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau menyatakan bahawa permulaan fasa peralihan ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya, yang telah berlangsung sejak 17 Mei lalu. Sepanjang tempoh ini, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

“Keadaan ini berpotensi menggalakkan kejadian ribut petir, yang biasanya membawa hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam. Kawasan yang paling terkesan termasuk barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah, serta barat dan tengah Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Helmi turut memberi amaran bahawa cuaca sebegini boleh menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang, dan kerosakan pada struktur tidak kukuh.

Oleh itu, METMalaysia mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada sepanjang tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan cuaca serta amaran yang dikeluarkan. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman web rasmi METMalaysia, aplikasi myCuaca, dan media sosial rasmi Jabatan. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui Hotline Jabatan di 1-300-22-1638.