Rumah Panjai

Honda CRV Seret Motorsikal Walaupun Tayar Kereta Mengeluarkan Api

Video Pemandu Honda CRV Seret Motosikal Tular: Pihak Berkuasa Diminta Ambil Tindakan Segera

PETALING JAYA – Video kejadian pemandu kereta Honda CRV yang memandu laju dan melulu serta menyeret sebuah motosikal tular di media sosial sejak malam tadi. Kejadian tersebut berlaku di simpang Taman Velox, Rawang.

Video berdurasi 18 saat yang dimuat naik oleh pengguna Han Amin menunjukkan kenderaan tersebut memecut laju kira-kira 500 meter walaupun tayar di sebelah kanannya telah tercabut. Dalam video itu, kelihatan pemandu Honda CRV tersebut tidak menghiraukan beberapa kenderaan lain yang cuba memberhentikannya, malah terus menyeret motosikal hingga menyebabkan percikan api.

Pemuat naik video itu memaklumkan, “Kejadian ngeri malam tadi di Taman Velox, Rawang. Allahuakbar. Pemandu difahamkan mabuk, merempuh penunggang motosikal. Nasib baik budak motosikal tu sempat terjun. Kalau tengok, tayar pun dah tak ada kereta tu.”

Menurut laporan, pemilik motosikal yang merupakan seorang penghantar barangan terselamat kerana sempat melompat ke atas jalan raya. Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai netizen meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera sekiranya benar pemandu tersebut berada dalam keadaan mabuk.

“Allahuakbar, nasib baik pemilik motosikal tu sempat terjun. Kalau tidak, tak tahulah apa yang akan berlaku,” kata Norhanim di ruangan komen.

“Harap pihak berkuasa bertindak segera jika benar pemandu tersebut mabuk. Ini sangat membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” tambah Hanif.

Pihak berkuasa diharapkan dapat menyiasat kejadian ini dengan segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Exit mobile version