Isu Grup WhatsApp Sekolah: Adakah Ia Menjadi Beban kepada Ibu Bapa dan Murid?

Isu Grup WhatsApp Sekolah: Adakah Ia Menjadi Beban kepada Ibu Bapa dan Murid?

ISU SEMASA

Isu Grup WhatsApp Sekolah: Adakah Ia Menjadi Beban kepada Ibu Bapa dan Murid?

BARU-BARU ini, Merak Jalanan mendengar perbincangan menarik di sebuah saluran radio tempatan mengenai kewajaran adanya grup WhatsApp sekolah untuk anak-anak. Isu ini mendapat perhatian ramai, terutamanya ibu bapa yang sering mengeluh tentang fungsi grup tersebut yang kadangkala terlalu aktif dan membuat mereka terasa seolah-olah mereka pula yang bersekolah.

Seorang pendengar menzahirkan sokongannya terhadap cadangan untuk memansuhkan grup WhatsApp sekolah, dengan alasan bahawa zaman dahulu, semasa tahun 1990-an dan 2000-an, ibu bapa hanya perlu mencatat pesanan guru dan kerja sekolah sendiri. Jika terlupa, hukuman sering menanti. Kini, generasi Alpha dilihat semakin bergantung kepada ibu bapa untuk menguruskan segala hal berkaitan sekolah, termasuk mengingatkan kerja sekolah melalui mesej WhatsApp.

Pendengar tersebut juga menyentuh tentang konsep gentle parenting yang dianggap menyumbang kepada kurangnya rasa tanggungjawab di kalangan murid. Beliau berpendapat bahawa grup WhatsApp sekolah membebankan ibu bapa kerana segala hal sekolah diletakkan sepenuhnya di tangan mereka, yang sepatutnya menjadi tanggungjawab murid itu sendiri.

Satu contoh nyata adalah rungutan seorang ibu yang marah apabila guru anaknya menghantar mesej lewat malam di grup WhatsApp, meminta ibu bapa membawa peralatan untuk kelas lukisan pada keesokan harinya. “Kenapa tak cakap Subuh nanti je?” keluhnya, kerana terpaksa bergegas mencari kad manila hampir jam 10 malam.

Nampaknya, grup WhatsApp telah menjadi ‘teknologi yang menyusahkan’ dan menyebabkan murid terlalu bergantung kepada ibu bapa. Adakah sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan semula keperluan grup WhatsApp sekolah dan mencari penyelesaian yang lebih efektif?