Kapal Tentera China dan Pengawal Pantai China dilaporkan berlegar Di Perairan Sarawak

Borneo ISU SEMASA Video

Kapal Tentera China dan Pengawal Pantai China Menggugat Keamanan Perairan Sarawak

Sabtu lalu, suasana di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia, khususnya berhampiran pelantar minyak di Sarawak, menjadi tegang apabila kapal peninjau tentera China dan Pengawal Pantai China (CCG) dilaporkan berkeliaran di kawasan tersebut.

Menurut Raymond Powell, Pengarah SeaLight.live, dalam satu hantaran di media sosial, kapal frigat ringan 053H3 Jiangwei Kelas Dua terakhir dikesan berhampiran Terumbu Ubi. Powell mendakwa, kapal tersebut telah mematikan Automatic Information System (AIS), menyukarkan usaha untuk mengesan kedudukan sebenar kapal itu.

Dalam perkembangan terbaru, Powell juga melaporkan bahawa aset Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Sundang dan KD Selangor, telah dikerahkan untuk menyertai aset Maritim Malaysia, KM Arau, di Terumbu Ubi. Langkah ini menunjukkan kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi situasi tersebut.

Pada 30 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan kepada nelayan dan pemancing di Laut China Selatan agar tidak bimbang dengan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG) di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali. Namun, ketegangan meningkat selepas beberapa insiden pertembungan antara pengawal pantai China dan Filipina, dengan insiden terbaru dilaporkan pada 31 Ogos lalu.

Selain itu, pada 29 Ogos, sebuah portal media Filipina mendedahkan Nota Diplomatik dari Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada Februari lepas. Nota tersebut mengandungi bantahan China terhadap aktiviti eksplorasi minyak di Beting Raja Jarum dan Beting Patinggi Ali.

Dalam pada itu, pada Khamis lalu, Anwar menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menghentikan operasi penerokaan minyak dan gas di Laut China Selatan meskipun terdapat bantahan daripada China mengenai sempadan yang ditetapkan. Astro Awani masih menunggu kenyataan rasmi daripada Kerajaan Malaysia berkenaan operasi kapal China di perairan Sarawak baru-baru ini.