Lelaki Ditahan Selepas Acu Pisau ke Arah Polis di Kota Samarahan

Borneo JENAYAH KEMALANGAN Video Viral

Lelaki Ditahan Selepas Acu Pisau ke Arah Polis di Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki berusia 24 tahun telah ditahan selepas mengacukan pisau ke arah anggota polis yang cuba membantunya akibat terlibat dalam kemalangan di Jalan Expressway Samarahan-Kuching, berhampiran sebuah pusat beli-belah, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Jaimi Husin, insiden itu berlaku sekitar jam 11.35 pagi apabila Unit Peronda Polis (MPV) dikerahkan ke lokasi selepas menerima laporan tentang sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabas di tepi jalan.

“Ketika anggota polis cuba memberikan bantuan dan mengeluarkan pemandu dari kenderaan tersebut, secara tiba-tiba lelaki berkenaan mengacukan pisau ke arah mereka,” kata Jaimi dalam kenyataannya hari ini.

Pihak polis cuba menenangkan lelaki tersebut namun dia enggan memberikan kerjasama.

Siasatan awal mendapati bahawa suspek dalam perjalanan dari Kuching ke Kota Samarahan sebelum terlibat dalam kemalangan yang melibatkan empat kenderaan lain, menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit.

Lelaki berkenaan berjaya ditahan dengan bantuan anggota bomba yang turut berada di lokasi kejadian. Pihak berkuasa juga merampas sebilah pisau pemotong sayur yang digunakan dalam insiden tersebut.

Suspek kini ditahan dan akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya.

Pihak polis menggesa orang awam agar sentiasa bertenang dan memberikan kerjasama dalam situasi kecemasan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang.