Rumah Panjai

Lelaki Mati Selepas Kerja 104 hari, Cuti Rehat Hanya Sehari

Lelaki Mati Selepas Kerja 104 hari, Cuti Rehat Sehari

Beijing – Budaya kerja di China sekali lagi menjadi tajuk utama selepas seorang lelaki berusia 30 tahun di wilayah Zhejiang, timur China, meninggal dunia akibat kegagalan organ selepas bekerja selama 104 hari tanpa rehat yang mencukupi.

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), mahkamah baru-baru ini memutuskan bahawa syarikat tempat lelaki itu bekerja, yang dikenali sebagai A’bao, bertanggungjawab 20 peratus terhadap kematiannya. Kematian A’bao, yang disebabkan oleh kegagalan beberapa organ akibat jangkitan pneumokokal, menimbulkan kemarahan dan perbincangan meluas mengenai keadaan kerja di negara itu.

Pada Februari tahun lalu, A’bao telah menandatangani kontrak untuk bekerja Dia bekerja sebagai tukang cat secara kontrak di sebuah syarikat yang namanya tidak didedahkan. Kontrak tersebut adalah untuk tempoh hingga Januari tahun ini. Dia kemudiannya ditugaskan untuk satu projek di Zhoushan, Zhejiang, di mana dia bekerja tanpa henti selama 104 hari dari Februari hingga Mei tahun lalu, dengan hanya satu hari rehat pada 6 April 2023.

Keadaan A’bao mula merosot pada 25 Mei 2023, apabila dia mengambil cuti sakit kerana tidak sihat. Pada 28 Mei 2023, dia dikejarkan ke hospital oleh rakan sekerjanya dan didiagnosis dengan jangkitan paru-paru dan kegagalan pernafasan. Malangnya, dia meninggal dunia pada 1 Jun 2023.

Siasatan awal menyatakan bahawa kematian A’bao tidak boleh dikategorikan sebagai kecederaan berkaitan kerja kerana terdapat lebih daripada 48 jam antara diagnosis penyakitnya dan kematiannya. Keluarganya kemudian memfailkan saman terhadap syarikat tersebut, mendakwa kecuaian majikan sebagai penyebab kematian.

Syarikat terbabit berhujah bahawa beban kerja A’bao adalah boleh diurus dan kerja lebih masa dilakukan secara sukarela. Mereka juga menyatakan bahawa kematiannya disebabkan oleh masalah kesihatan sedia ada dan kekurangan campur tangan perubatan yang tepat.

Mahkamah memutuskan bahawa beban kerja A’bao yang bekerja tanpa henti selama 104 hari melanggar Undang-Undang Buruh China, yang menetapkan waktu kerja maksimum sehari adalah lapan jam dan purata 44 jam seminggu. Pihak mahkamah telah mengarahkan syarikat tersebut membayar pampasan sebanyak 400,000 yuan (kira-kira RM244,412) kepada keluarga A’bao, termasuk 10,000 yuan (kira-kira RM6,110) untuk tekanan emosi yang dihadapi keluarga akibat kematiannya.

Kes ini telah menarik perhatian masyarakat dan memperluas perbincangan tentang bagaimana pekerja dilayan di China, menyoroti isu-isu mengenai budaya kerja yang ekstrem dan perlunya reformasi dalam sistem pekerjaan di negara tersebut.

Exit mobile version