Nora Danish Seronok Tidak Lagi Berlakon Babak Bersentuhan Sejak Berhijab

Bintang

Nora Danish Seronok Tidak Lagi Berlakon Babak Bersentuhan Sejak Berhijab

Pelakon terkenal, Nora Danish, 42, mengakui semakin seronok berlakon tanpa perlu melakonkan babak bersentuhan sejak mengambil keputusan untuk berhijab pada Jun lalu. Menurut Nora, keputusan itu bukan sahaja memberi ketenangan jiwa, malah meningkatkan rasa harga diri.

“Alhamdulillah, sejak saya berhijab, syarikat produksi menghormati imej baharu saya. Setakat ini, tawaran kerja yang diterima juga sangat memuaskan,” kata Nora ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, melakonkan watak tanpa babak bersentuhan merupakan pengalaman baharu yang sangat menyeronokkan. “Kalau tahu perjalanan kerjaya saya sebelum ini, bersentuhan adalah sesuatu yang biasa dalam lakonan saya. Tapi kini, saya lebih seronok kerana tidak perlu lagi melakukannya,” katanya dengan senyuman.

Sejak bercerai dengan Nedim Mohamad Nazri, 41, pada Jun lalu, Nora mengakui bahawa ada lelaki yang cuba mendekatinya. Namun, ibu kepada dua cahaya mata ini menegaskan bahawa fokus utamanya sekarang adalah untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah.

“Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk mendirikan rumah tangga lagi. Saya mahu memberi tumpuan kepada diri sendiri dan anak-anak, serta berusaha untuk kekal istiqamah dalam perubahan hidup saya ini,” jelas Nora.

Bercakap mengenai cabaran mengekalkan istiqamah selepas berhijab, Nora bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan yang baik serta mempunyai hala tuju yang sama dalam kehidupan.

Untuk rekod, Nora dan Nedim berkahwin selama tujuh tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, 6 tahun. Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli (Jejai) dan dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 15 tahun, sebelum berpisah pada 2008.