Pelajar Sarawak Bakal Terima Insentif Wang Saku Daripada Kerajaan Negeri

Borneo ISU SEMASA

Pelajar Sarawak Bakal Terima Insentif Wang Saku Daripada Kerajaan Negeri

KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 25,000 pelajar Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia bakal menerima insentif wang saku daripada kerajaan negeri, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau mengumumkan berita gembira ini semasa sesi dialog awam Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) baru-baru ini. Menurut Abang Johari, butiran penuh mengenai insentif tersebut akan diperincikan dalam pembentangan Belanjawan Sarawak 2025 pada bulan hadapan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak.

“Saya akan umumkan butirannya bulan depan. Wang saku ini akan disediakan untuk pelajar Sarawak yang belajar di Kuala Lumpur serta seluruh Malaysia. Inisiatif ini dijangka memanfaatkan sekitar 25,000 pelajar di seluruh negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hanya pelajar yang memiliki kad pengenalan bertanda ‘K’ (Sarawak) layak menerima bantuan tersebut, tanpa mengira di mana mereka menuntut sama ada di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) atau mana-mana kolej lain.

Selain insentif wang saku, Abang Johari turut mendedahkan bahawa kerajaan Sarawak akan menyediakan insentif tambahan berupa komputer riba kepada pelajar-pelajar yang layak, sebagai sokongan dalam pembelajaran mereka.

“Alhamdulillah, hasil negeri kita terus meningkat setiap tahun, dan kita akan memanfaatkan dana ini untuk memberi manfaat kepada rakyat Sarawak,” tambahnya, memberi keyakinan bahawa pemberian insentif tersebut adalah hasil daripada pendapatan kerajaan negeri yang kukuh.

Turut hadir pada sesi dialog itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, serta menteri-menteri persekutuan dan negeri.

Dalam sesi itu juga, Abang Johari menekankan bahawa Sarawak masih memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang penting, terutama teknologi dan kejuruteraan, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri yang kini memberi fokus kepada pembangunan ekonomi digital, tenaga hijau, hidrogen, aeroangkasa, serta tenaga boleh diperbaharui.

Berita ini pastinya memberikan harapan besar kepada pelajar-pelajar Sarawak yang sedang menuntut di seluruh Malaysia, kerana sokongan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan mereka, tetapi juga memudahkan mereka mencapai kejayaan akademik dengan lebih baik.

@sarawaknews.com Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, mencuri perhatian apabila memberi bayangan insentif besar untuk pelajar Sarawak yang menuntut di seluruh Malaysia. #sarawaknews #sarawaktiktok #sarawakmajumakmur #sarawakfyppp #premiersarawak ♬ original sound – Sarawak News