Pemandu Bas Ditahan Selepas Muat Naik Video Kanak-Kanak ke TikTok

JENAYAH

Pemandu Bas Ditahan Selepas Muat Naik Video Kanak-Kanak ke TikTok

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu bas ditahan awal pagi tadi di Simpang Renggam selepas didapati memuat naik rakaman video seorang penumpang yang dipercayai murid sekolah rendah ke akaun TikToknya. Video tersebut menampilkan kanak-kanak berkenaan sebagai ‘crush’ atau ‘kesayangan’ pemandu tersebut.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, mengesahkan bahawa penahanan pemandu bas berusia 24 tahun itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang sekitar jam 2.57 pagi. Polis juga merampas telefon bimbit yang digunakan untuk memuat naik video tersebut.

“Semalam, Polis Kontinjen Johor menerima laporan mengenai video tersebut dan segera menjalankan siasatan. Rakaman itu masih boleh diakses di akaun TikTok suspek,” jelas Kumar dalam kenyataan media hari ini.

Video yang tular itu menunjukkan pemandu bas menggelar penumpang kanak-kanak sebagai ‘crush’, yang menimbulkan kecaman orang ramai kerana dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak. Mengambil dan menyiarkan gambar atau video kanak-kanak tanpa izin ibu bapa adalah pelanggaran terhadap hak dan privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, turut mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis berhubung isu tersebut.

Menurut Kumar, pemandu bas tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali, selain denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kumar mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka dan segera melaporkan sebarang tanda gangguan atau perlakuan jenayah seksual untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak mereka.

@utusantvofficial Replying to @echa.cha__ Kes disiasat di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kana-Kanak 2017. #beritatiktok #trendingnewsmalaysia #fyp #abangbas ♬ Suspense – Gold-Tiger