Perlawanan Silat di Miri Diteruskan Tanpa Kehadiran Penonton Selepas Insiden Botol Air Mineral

Borneo Video Viral

Perlawanan Silat di Miri Diteruskan Tanpa Kehadiran Penonton Selepas Insiden Botol Air Mineral

MIRI, 21 Ogos – Semua perlawanan acara silat yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 23 Ogos di Stadium Bandaraya Miri akan diadakan tanpa kehadiran penonton, berikutan insiden membaling botol air mineral semasa perlawanan suku akhir kategori Putri Kelas 45 kilogram.

Ketua Delegat Teknikal Jawatankuasa Teknikal Pencak Silat, Kamarul Arrifin, mengesahkan bahawa hanya petugas yang mempunyai pas sah sahaja dibenarkan memasuki stadium. “Mulai esok (Khamis) hingga 23 Ogos, semua penonton akan dilarang daripada memasuki kawasan stadium. Hanya sukarelawan, petugas kesihatan, media, dan petugas keselamatan yang memiliki pas sahaja yang dibenarkan,” katanya dalam sidang media tergempar pada jam 7.26 malam Rabu.

Dalam usaha menjaga keselamatan, penonton yang terdiri daripada atlet akan diasingkan dan ditempatkan di kawasan tetamu kenamaan untuk mengelakkan mereka berkeliaran di dalam stadium.

Kamarul juga menjelaskan bahawa keputusan perlawanan antara pesilat Sarawak, Iman Syakilla Mahdi, dan pesilat Wilayah Persekutuan, Nurin Alyaa Damia, kekal seperti sebelumnya. Kemenangan diberikan kepada Wilayah Persekutuan atas persetujuan bersama Ketua Jurulatih pasukan masing-masing.

“Semua pengurus pasukan bersetuju untuk mengenakan tindakan terhadap pelaku yang telah dikenal pasti dalam insiden membaling botol. Mengikut peraturan Persatuan Silat Antarabangsa, amaran pertama akan diberikan, dan jika insiden serupa berulang, pelaku akan dilarang memasuki stadium sehingga pertandingan berakhir,” tegas Kamarul.

Walaupun insiden tersebut tidak melibatkan perlawanan pasukan Sarawak secara langsung, perlawanan akan diteruskan mengikut jadual. Namun, tiada penonton dari mana-mana negeri dibenarkan hadir.

Mengulas mengenai keputusan perlawanan yang tertangguh pada jam 4.46 petang Rabu, Kamarul memaklumkan bahawa kemenangan diberikan kepada Wilayah Persekutuan. “Kedua-dua pengurus pasukan Sarawak dan Wilayah Persekutuan telah bersetuju dengan keputusan ini untuk memberi kemenangan kepada pesilat Wilayah Persekutuan,” jelasnya.

Insiden tersebut menyebabkan perlawanan dihentikan dan mesyuarat lebih dua jam telah memutuskan keputusan berpihak kepada pesilat Wilayah Persekutuan. Kamarul turut mengakui terdapat kerosakan pada server yang menyebabkan kesilapan pada papan pemarkahan, namun ia akan diperbaiki segera.

Perlawanan yang dihentikan tersebut berlaku selepas satu insiden membaling botol air mineral di dalam gelanggang, menyebabkan jawatankuasa penganjur terpaksa menghentikan perlawanan di kedua-dua arena bagi mengelakkan situasi yang tidak diingini.