Polis Miri Tumpaskan Sindiket Dadah, Rampas Ganja Bernilai RM3.6 Juta

Borneo JENAYAH

Polis Miri Tumpaskan Sindiket Dadah, Rampas Ganja Bernilai RM3.6 Juta

MIRI,– Polis Sarawak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila menahan dua lelaki dan merampas kira-kira 1.7 kilogram ganja serta 143 pokok ganja bernilai RM3.6 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Piasau, Miri pada Jumaat lalu.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, kedua-dua suspek berusia 41 dan 61 tahun didapati menanam pokok ganja secara sulit di kawasan kediaman mereka. Benih ganja tersebut dipercayai dibeli secara dalam talian dan dihantar melalui perkhidmatan kurier.

“Sepeket benih ganja dianggarkan bernilai sekitar USD100 (RM470). Ganja yang dihasilkan kemudian dijual di pasaran tempatan, dengan harga RM100 untuk setiap 100 gram,” jelas Datuk Mancha dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas mampu menampung keperluan 32,084 penagih di sekitar Miri. Dalam operasi yang sama, polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM20,000 dan sebuah motosikal bernilai RM4,500.

Hasil ujian saringan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Tetra Hydro Canabinol (THC). Mereka kini direman selama seminggu sehingga 21 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6B dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tindakan pantas polis ini membuktikan komitmen berterusan dalam membanteras sindiket dadah yang semakin menular di Sarawak.