Rumah Panjai

‘Saya Minta Maaf, Jangan Libatkan Keluarga Saya’

Pelumba Berbasikal Jepun Mohon Maaf kepada Rakyat Malaysia Selepas Insiden Olimpik Paris

Shinji Nakano, pelumba berbasikal trek dari Jepun, telah mengeluarkan permohonan maaf terbuka kepada rakyat Malaysia selepas kejadian yang berlaku dalam perlumbaan Olimpik Paris semalam.

Dalam satu hantaran di TikTok, Nakano memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas insiden yang melibatkan pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sarom. Nakano turut meminta agar orang ramai tidak melibatkan ahli keluarganya dalam isu ini.

“Saya mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesilapan saya. Tolong jangan sebut nama ahli keluarga saya, saya yang bertanggungjawab jadi mohon jangan libatkan keluarga saya,” ujar Nakano.

Sebelum ini, media sosial Malaysia telah dipenuhi dengan kecaman terhadap Nakano, yang dikatakan menjadi punca pelumba Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sarom, terjatuh dan kehilangan peluang untuk meraih pingat di pentas Sukan Olimpik.

Dalam perlumbaan tersebut, Muhammad Shah Firdaus pada awalnya berada dalam kedudukan ketiga. Namun, kedudukannya berubah secara dramatik apabila berlaku insiden pelanggaran. Pelumba dari Great Britain, Jack Carlin, terlebih dahulu terjatuh, sebelum Nakano kehilangan kawalan dan merempuh Muhammad Shah Firdaus dari belakang.

Permohonan maaf Nakano ini diharapkan dapat meredakan ketegangan dan memberikan kejelasan kepada situasi yang berlaku di perlumbaan berprestij itu.

Exit mobile version