STR dan SARA 2025 Dinaikkan ke RM13 Bilion, Manfaat 9 Juta Rakyat

BERITA TERKINI ISU SEMASA

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan peningkatan terbesar dalam Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2025, dengan jumlah keseluruhan meningkat kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan ini akan memberi manfaat kepada sembilan juta penerima, yang merangkumi 60 peratus daripada penduduk dewasa di Malaysia. Langkah ini bertujuan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut beliau, sebanyak 4.1 juta penerima STR dalam kategori isi rumah akan turut menerima SARA sebanyak RM100 setiap bulan, jauh lebih tinggi berbanding hanya 700,000 penerima pada tahun ini. Bantuan ini akan dikreditkan terus ke dalam MyKad penerima bermula April 2025 dan boleh digunakan untuk membeli barangan asas seperti makanan, minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan, serta produk kebersihan diri. Lebih 600 pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara akan terlibat dalam pelaksanaan bantuan ini.

Selain itu, kategori bujang juga akan menerima bantuan STR sebanyak RM600. Dengan tambahan peruntukan RM3 bilion ini, jumlah maksimum yang boleh diterima oleh isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700 pada tahun sebelumnya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa langkah ini mencerminkan usaha kerajaan untuk terus menyokong golongan yang memerlukan serta memastikan rakyat dapat berbelanja bagi keperluan asas tanpa rasa terbeban. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui Belanjawan 2025.