LAWAS: Satu letupan paip gas milik Petronas di jajaran Long Ugui ke Long Sukang berlaku di sini telah menyebabkan seorang maut, manakala tiga lagi melecur. Mangsa yang mati adalah pemandu jentera jengkaut warganegara Indonesia manakala tiga yang cedera adalah warga tempatan.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian tersebut berkata, insiden dipercayai berlaku sekitar pada jam 2.10 petang.
“Mangsa yang maut adalah berada di dalam jengkaut, dan jarak beliau dengan tiga rakan lain sekitar 200 meter,” Siasatan awal mendapati, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada kebocoran paip.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimanshah berkata, pihak Bomba menerima maklumat tentang kejadian tersebut sekitar jam 2.49 petang.
“Pasukan Bomba telah mengatur gerak sebuah jentera dan sebuah pacuan empat roda dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Lawas oleh kakitangan kontraktor pembinaan, di mana paip itu meletup.