Pengarah Filem Terkenal, Yassin Salleh Meninggal Dunia pada Usia 78 Tahun

Bintang

Pengarah Filem Terkenal, Yassin Salleh Meninggal Dunia pada Usia 78 Tahun

DENGKIL: Dunia seni kehilangan seorang lagi bintang apabila pengarah filem prolifik, Yassin Salleh, 78, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Dengkil, Selangor pada jam 12.35 tengah hari tadi. Pemergian sutradara yang terkenal dengan filem ikonik Dia Ibuku itu disahkan oleh anak keduanya, Yasleh Hani Wati.

“Iya, betul, ayah meninggal tengah hari tadi. Kemungkinan puncanya adalah selepas ayah terjatuh di bilik air pada 5 September lalu. Setelah pemeriksaan di hospital, doktor mendapati tulang paha kiri ayah patah dan dia menjalani pembedahan,” kata Yasleh.

Menurut Yasleh, selepas dibenarkan pulang ke rumah pada 16 September, keadaan bapanya mula berubah. “Ayah tidak mahu makan dan kelihatan sangat lemah sehinggalah hari ini disahkan meninggal dunia,” tambahnya.

Yasleh juga berkongsi bahawa bapanya telah lama menunjukkan tanda-tanda bersedia untuk pergi buat selama-lamanya. Selain mengalami masalah kesihatan seperti angin ahmar, kencing manis, dan darah tinggi, Yassin sering menyebut tentang kematian selepas isterinya meninggal dunia pada 2010. “Ayah pernah berkata ingin dikebumikan berhampiran rumah dan seolah-olah sudah bersedia untuk meninggalkan kami,” katanya lagi.

Jenazah Allahyarham Yassin diuruskan di Masjid Dengkil dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, petang tadi.

Dalam kerjaya seni yang panjang, Allahyarham Yassin Salleh meninggalkan legasi yang besar. Filem Dia Ibuku yang dibintangi Datuk Sarimah Ahmad pada tahun 1980 meraih 10 trofi pada Festival Filem Malaysia 1981, rekod yang masih belum dipecahkan hingga kini. Selain itu, beliau turut terlibat dalam pementasan teater seperti Teater Atas Pokok (2016) dan Uda dan Dara (2017).

Di samping kejayaan di layar perak, Allahyarham Yassin juga merupakan seorang penyair, menerbitkan koleksi puisi seperti Simfoni Sepi (2012), Ikan Ikan Di Kaca (2015), dan Himpunan Sajak Cinta Rakyat (2019).

Pemergian Yassin Salleh meninggalkan kesan mendalam kepada industri seni dan seluruh peminatnya. Legasi dan karyanya pasti akan terus dikenang sepanjang zaman.